20100518

Adakah saya dilahirkan terlalu lewat untuk jadi juara dalam sukan?

Salam Satu Malaysia,

Selamat Hari Guru kepada semua warga guru.

Berikut adalah sebuah artikel sumbangan sahabat saya. Kami telah lama (bertahun-tahun) bincang tentang perkara ini dan implikasinya terhadap mengenalpasti bakat di peringkat pra baligh. Harapan kami adalah supaya semua pelajar dapat mencapai bakat/potensi mereka. Semua guru/jurulatih tidak seharusnya bergantung pada ujian dianostik, ujian TId dan membuat keputusan tentang potensi pelajar mereka.

Thank you Jeff.


Adakah saya dilahirkan terlalu lewat untuk jadi juara dalam sukan?

Persoalan ini mungkin mengelirukan sipembaca tetapi mengikut kajian ke atas latar belakang atlet mendapati lebih ramai daripada mereka yang lahir dalam bulan tertentu. Fenomena ini dinamakan sebagai kesan umur relatif yang bermakna perbezaan umur dalam kategori umur yang sama. Untuk memudahkan kefahaman, seorang pelajar Tingkatan 1 yang lahir pada bulan Januari 1997 sebenarnya lebih berumur (lebih tua) 11 bulan daripada seorang pelajar yang lahir pada bulan Disember tahun yang sama.
Situasi yang paling nyata ialah melihat rakan sebaya dalam kelas yang sama terutamanya di kalangan pelajar Tingkatan satu dan dua. Mereka dalam lingkungan umur 13 – 14 tahun sedang mengalami proses tumbesaran yang pesat akibat proses akil baligh. Mereka yang dilahirkan pada awal tahun akan mempunyai kelebihan dari segi tinggi dan susuk badan berbanding dengan mereka yang tarikh lahir jatuh pada hujung tahun. Perbezaan ciri fizikal ini telah mengakibatkan ketidaksamaan dalam banyak bidang terutamanya dalam bidang sukan dan kajian saintifik mengenali fenomena ini sebagai kesan umur relatif.
Berbalik kepada persoalan di atas, kanak-kanak dikategorikan mengikut umur kronologi apabila mereka mula zaman persekolahan. Tujuan klasifikasi ini ialah untuk memberi pengalaman pendidikan yang bersesuaian dengan keupayaan dan kematangan mental, emosi dan fizikal seseorang. Kajian ke atas perkembangan kanak-kanak mendapati perbezaan keupayaan mental dan emosi mula muncul dalam lingkungan umur 10 hingga 12 tahun di mana mereka yang lebih tua secara relatif didapati lebih matang, yakin dan mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik daripda mereka yang lebih muda. Walau bagaimanpun, fenomena ini menjadi lemah dan hilang apabila sampai ke tahap pengajian yang lebih tinggi (e.g., Tingkatan 4 ke atas). Penyelidik mendapati mereka yang ‘ketinggalan’ akan berusaha dengan gigih dan dapat ‘mengejar’ mereka yang lebih tua. Usaha ini dapat dilakukan dalam bidang pendidikan kerana persekolahan adalah wajib di mana semua pelajar wajib melalui zaman persekolahan sehingga tamat Tingkatan 5.
Fenomena kesan umur relatif ini juga wujud dalam bidang sukan. Selain daripada klasifikasi mengikut umur dalam kejohanan olahraga tahunan sekolah, banyak kalau tidak semua pertandingan sukan adalah dikawal oleh kumpulan umur (e.g., bawah umur 12, 15, 17 tahun). Sekali lagi mereka yang dilahirkan pada awal tahun akan mempunyai kelebihan daripada mereka yang ‘lebih muda’ tetapi kelebihan kali ini adalah lebih ketara iaitu kelebihan dari segi fizikal (lebih tinggi, kuat, laju dsb.) dan ciri-ciri inilah yang diperlukan untuk menjadi juara!
Bukan sahaja peluang mereka yang ‘lebih tua’ ini untuk menang bertambah, guru dan jurulatih pun ‘termakan’ dengan memilih mereka. Ramai jurulatih yang mahukan kejayanan melalui jalan pintas akan memilih mereka yang mempunyai kelebihan fizikal (ciri yang dinyatakan dalam perengan di atas) dan fenomena ini sering berlaku ke atas sukan seperti olahraga dan bolasepak dan permainan yang mana keupayaan fizikal seperti kuasa, kekuatan dan kelajuan menentukan kejayaan.
Apabila seseorang pelajar dipilih untuk mewakili sama ada sekolah atau daerahnya, pelajar tersebut juga akan mendapat latihan serta tunjukajar yang lebih baik daripada jurulatih yang berpengalaman, lebih banyak peluang bertanding dan banyak lagi ganjaran yang lain. Atlet ini akan terus mendapat ganjaran sedemikian apabila beliau memasuki peringkat umur yang lebih tinggi.
Apa akan jadi kepada mereka yang berminat dan mungkin berbakat tetapi tidak dipilih kerana tidak mempunyai susuk badan yang sesuai akibat lambat akil baligh sebab dilahirkan pada akhir tahun? Mereka sama ada akan cuba nasib dalam sukan lain atau hilang minat langsung terhadap sukan (tercicir dari sukan). Salah satu cara untuk mengesan sama ada fenomena ini benar atau tidak ialah mengkaji tarikh lahir mereka yang terlibat dalam sukan yang kurang mementingkan kelebihan fizikal (cth., gimrama, ping pong) atau yang tidak popular (cth., kriket, boling). Lebih ramai atlet dalam sukan ini dilahirkan pada pertengahan atau hujung tahun. Walau bagaimanpun, sekurang-kurangnya mereka ini masih terlibat dalam sukan berbanding dengan mereka yang tercicir dari sukan.
Masalah keciciran dalam sukan berlaku kerana bersukan pada masa sekarang masih lagi dan sepatutnya satu proses sukarela. Oleh kerana penglibatan dalam sukan adalah secara sukarela, maka pelajar yang tercicir dalam sukan akan terus tercicir sementara dalam bidang akademik, seorang pelajar yang lemah tidak mempunyai pilihan lain kerana persekolahan adalah wajib.
Adalah menjadi satu fenomena yang agak sedih untuk mereka yang dilahirkan pada hujung tahun bercita-cita untuk menjadi seorang atlet terkemuka. Apa yang disarankan ialah agar mereka tidak putus asa tetapi terus berlatih atau cuba sukan yang berlaianan (salah satu strategi yang diamalkan di kebanyakan negara Barat). Kekurangan dari segi kekuatan dan kelajuan boleh di atasi dengan kehandalan dalam kemahiran teknikal dan taktikal (cth., keupayaan membuat keputusan yang betul secara pantas).
Nukilan ini juga ditujukan kepada para pendidik terutamanya guru sukan agar sedar dan tidak mengabaikan mereka yang menunjukkan potensi tetapi mempunyai saiz badan yang lebih kecil. Cara paling mudah ialah periksa tarikh lahir meraka dahulu! Bukan menjadi satu kesalahan jika mereka yang lebih tua secara relatif dipilih, tetapi ‘kolam bakat’ akan jadi terhad sebab mereka yang ‘lebih tua’ mungkin sudah capai had tumbesaran maksimum dan tidak boleh maju walaupun diberi latihan sementara mereka yang ‘lebih muda’ mungkin lebih baik jika diberi latihan dalam jangka masa panjang.