Pengendalian Ujian SEGAK.
Kepada rakan-rakan guru PJ,
Apa khabar semua? Saya ingin berkongsi pendapat dengan anda semua tentang Ujian SEGAK. Bagaimanakah anda menangani masalah menjalankan Ujian SEGAK? Saya menghadapi masalah kerana Peperiksaan Percubaan PMR, Peperiksaan Percubaan SPM, Bulan Ramadhan dan Jadual Waktu Anjal (di mana kelas PJPK diganti dengan mata pelajaran akademik lain).
Saya bernasib baik kerana Pihak Pengurusan Sekolah saya telah membenarkan guru-guru PJPK untuk menjalankan Ujian SEGAK serentak bagi Tingkatan Satu, Dua dan Tiga. Tingkatan Empat telah diuji semasa
kelas PJPK.
Beberapa perkara yang saya dapati semasa menjalankan ujian ini adalah seperti berikut:
Kebanyakkan guru tidak tahu tentang keperluan untuk menjalankan Ujian tersebut. Ujian ini adalah satu keperluan mengikut SPI. Ia mesti dijalankan dua kali setahun. Lihat pautan SEGAK di sebelah.
Terdapat guru yang tidak tahu protokol ujian (terutama sekali keperluan untuk menjalankan ujian ini dalam sehari). Protokol ini terdapat dalam Panduan SEGAK yang dikeluarkan oleh KPM. Memandangkan Ujian ini adalah ujian rujukan norma, ujian ini mesti dijalankan mengikut protokol sebenar supaya skor yang diperolehi adalah sah.
Penyimpanan data yang tidak lengkap. Saya meminta murid merekod data dalam kad SEGAK. Kad ini difailkan dan disimpan dalam Bilik Pengurusan PJPK. Selain itu, murid-murid diminta memasukkan skor mereka dalam perisian komputer yang disediakan oleh JPN Selangor. Dengan cara ini saya dapat menggunakan TMK dalam P & P (sekarang ditukar kepada PdP). Murid-murid agak gembira apabila memasukkan skor peribadi mereka kerana mereka dapat maklum balas tentang status kecergasan mereka.
Prestasi murid dalam Ujian SEGAK tidak dilaporkan kepada murid atau ibu bapa. Kebanyakkan daripada kita menjalankan Ujian ini kerana ia adalah satu keperluan. Kita lebih mementingkan membuat laporan kepada pihak atasan tentang rumusan keputusan Ujian SEGAK. Pada pendapat saya, perkara yang lebih penting adalah untuk kita memaklumkan kepada murid tentang status mereka dan mencadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan prestasi mereka.
Saya telah menjadikan sesi Ujian SEGAK tingkatan tiga di sekolah saya sebagai Ladap PJPK di mana semua guru PJPK (pagi dan petang) telah hadir bersama dan mendapat pendedahan secara teori dan praktikal. Hasilnya, pengendalian Ujian SEGAK kedua 2012 di SMK Puchong Permai agak memuaskan. Yang menggemirakan sya ialah melihat murid-murid berasa seronok semasa menjalankan ujian tersebut.
Sekiranya rakan-rakan di Selangor ingin menjalankan Ladap SEGAK di sekolah anda, sila hubungi saya. Saya akan cuba membantu jika ada kelapangan. Jika tidak, saya akan dapatkan bantuan JU PJPK negeri Selangor yang berhampiran dengan sekolah anda untuk membantu.
Jika kita dapat melaksanakan Ujian SEGAK dengan sempurna, mata pelajaran PJPK akan diberi lebih penekanan oleh pihak yang berkuasa.
Martabatkan PJPK.
Cikgu Gopal